PERJUMPAAN SILATURRAHIM ANTARA Menteri Pertahanan Malaysia DATO' SERI DR RADEN AHMAD ZAHID HAMIDI DENGAN WAKIL SULTAN BANTILAN II (Sulatniyah Sulu Darul Islam -SSDI) DI HOTEL PAN PASIFIC (PWTC) MALAM TADI 5hb Mac 2013.
Ditemani oleh saudara kami Tengku Muhammad Shahir bin As-Syafi'e (berkopiah putih), MUFTI BESAR SSDI Datu Paduka Maulana Shar'i Habib Rizieq Bin Hussein Shihab Al-Husseini (serban putih) yang bergegas ke Kuala Lumpur menemui Menteri Pertahanan Malaysia bersama Menteri Luar SSDI Datu Habib Zakaria Abdullah (bersongkok hitam) dan penulis (bertopi bereta hitam) sebagai wakil Tausug Global Media (TGM) merangkap Menteri Belia dan Sukan SSDI. Pertemuan bersejarah ini adalah usaha muslimin Malaysia dan Sulu untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian kepada kes yang berlaku di Lahad Datu demi Islam dan persaudaraan seagama.
PENJELASAN GAMBAR:
Alhamdulillah walau pun perjumpaan di atas begitu cepat dan ringkas namun Datu Habib Zakaria Abdullah sebagai Menteri Luar SSDI dan Datu Habib Rizieq Shihab sebagai Mufti besar SSDI yang tinggal di Jakarta itu sempat menjelaskan pendirian Sultan Bantilan II, para Datu dan Syarif serta rakyat SSDI, bahawa pencerobohan bersenjata ke atas wilayah kedaulatan Malaysia sebagaimana yang berlaku di Lahad Datu itu bukan sahaja sangat tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia malah rakyat Sulu secara majoriti tidak dapat menerimanya.
Tindakan secara bersenjata yang hanya dilakukan oleh beberapa orang dari Sulu yang mengaku sebagai Tausug itu adalah tindakan bersendirian dan terdesak tanpa membabitkan majoriti Tausug di kepulauan Sulu mahupun yang ada di Sabah dan Malaysia amnya.
Bagi SSDI, apa sahaja permasalahan yang berlaku antara Malaysia dan Sulu ia sewajarnya diselesaikan di atas meja rundingan secara muhibbah dan penuh persaudaraan. Oleh itu, SSDI yang dipimpin oleh Sultan Bantilan II (PBMM Sultan Muhammad Bantilan Muizzuddin II bin Datu Wasik Aranan Puyo) sejak gerakannya yang bermula tahun 2006 di Jolo Sulu itu telah menjadikan slogan ANTI-PERANG dan ANTI-KEGANASAN sebagai dasar perjuangannya TANPA SENJATA.
Buktinya terdapat ucapan keamanan Sultan Bantilan II (ketika itu nama baginda ialah Datu Ladjamura) dalam buku Tausug dan Kesultanan Sulu (buku ini ditulis oleh penulis dalam bahasa Melayu dan kemudian diterjemah oleh Sabah Islamic Media Sdn Bhd ke bahasa Inggeris untuk edaran antarabangsa, buku ini dirasmikan oleh salah seorang Timbalan Menteri Sabah pada tahun 2007. Ini bermakna secara teknikal buku Tausug dan Kesultanan Sulu adalah buku yang diiktiraf oleh kerajaan Negeri Sabah termasuk kenyataan aman oleh Datu Ladjamura di situ. RTM dan beberapa akhbar tempatan negeri Sabah turut membuat liputan pada perasmian buku Tausug dan Kesultanan Sulu itu di Dewan Perpustakaan Tawau tahun 2007.
Walau pun SUARA DAMAI dan KEAMANAN dari keluarga BANTILAN itu sudah lama berkumandang di Malaysia sejak 2007 itu namun tiada siapa yang peduli, hanya dipandang sebelah mata oleh kerajaan Malaysia. Malah laungan DAMAI dan KEAMANAN ini terus menerobos kepulauan Sulu sehingga menjadikan keluarga KIRAM berasa terancam pula. SSDI sudah lama mengutus utusan damai kepada keluarga KIRAM sejak 2006 lagi untuk sama-sama bersatu dalam gerakan aman SSDI tanpa senjata.
Nampaknya KUASA BESAR yang sedang melabuhkan punggungnya di pulau Jolo itu itu tidak senang hati perjuangan KEAMANAN SSDI. Sehingga kita berasakan bahawa mereka telah bertindak mendokong pencerobohan di Lahad Datu itu.
Untuk mengakhiri catatan ini, ayuh kita sama-sama membaca Salawat Tafrijiyyah ini, yang mana amalan Salawat ini turut menjadi amalan harian Dato' Seri Dr Raden Ahmad Zahid Hamidi (beliau berketurunan yang ada kaitan dengan Ahlulbait dari kesultanan Jogjakarta). Saya tidak menyangka, seorang Menteri Malaysia seperti beliau sangat istiqamah dalam amalan Salawat hebat ini. Tidak hairan wajah-wajah para pengamal salawat ini senantiasa tenang dan terpancar NUR barokah. Semoga Allah swt menghapuskan segala Fitnah besar yang sedang melanda ini buat kita umat Islam Malaysia dan Sulu malah Dunia amnya. berkat pembacaan Salawat Tafrijiyyah ini AMIIIIIN YA RABBAL ALAMIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan